Rumah


Rumah bagi saya ada pelbagai maksud. Rumah adalah sebuah bangunan yang kita tinggal di dalamnya. Bahan binaan boleh jadi batu, katu dan besi. Frasa ‘rumahku syurgaku’, ‘home sweet home’, baiti jannati sering digunakan untuk menerangkan erti rumah. Tapi saya lihat, ada sahaja rumah yang tidak menjadi ‘syurga’. Kembali ke rumah tidak lagi menenangkan. Menyerabutkan, rimas, bergaduh, pentingkan diri, ahli rumah tidak lagi dirasakan seperti ahli – sehingga rasa keluar dari rumah lebih menenangkan dan menggembirakan. Di mana syurganya? Di spektrum yang lain, ada rumah yang merehatkan, tenteram, ahli saling membantu dan segala sisi yang baik lagi. Mewujudkan ‘syurga’ itu tugas bersama ahli rumah. Menyediakan ruang-ruang untuk bersama adalah satu keperluan.

Ada sebuah lirik yang saya tulis berkenaan rumah. Tapi rumah yang dimaksudkan adalah tempat kembali seseorang itu. Satu ruangan untuk dia kembali setelah membuat perjalanan jauh, merantau dan berkelana. Ataupun tempat untuk seseorang yang tersesat, hilang arah, hanyut di lautan, untuk kembali ke tempat yang selamat. Selepas anda baca bait-bait di bawah, anda bebas memberikan tafsiran masing-masing.


Lirik di bawah ini ada cerita di sebaliknya. Saya menulis lirik ini dengan ingatan seorang  seorang teman yang dahulunya kami bersama-sama melalui sebuah perjalanan. Tetapi di tengah-tengah perjalanan tersebut, beliau tersalah arah. Kami tidak lagi bertemu di jalan tersebut. Saya cuba mencari beliau untuk menunjuk arah kembali, tetapi tidak lagi dapat berhubung dengan beliau. Loss contact. Tapi saya percaya bahawa beliau cuma hilang sebentar. Kompas penunjuk jalan yang beliau bawa hanya rosak seketika dan akan kembali berfungsi – itu doa saya. Saban hari saya mengemas ‘rumah’ ini untuk menyambut kepulangan beliau. Saya pastikan kasut-kasut tersusun, halaman rumah disapu bersih, lantai dicuci, baju-baju dibasuh dan tidak lupa juga bunga-bunga disiram. 

Hidupmu penuh dugaan
Di tempatmu membesar   
Tetapi, dirimu tiada

Lemah kakimu melangkah
Jauh untukmu pulang
Terhenti, dirimu seketika

Berlegar penuh merana
Arahmu entah ke mana
Sepenuh hati kau gagahi

Saat itu, ku jua pernah merasa
Mentari pasti menantimu hari esok
Ini doaku untukmu, semat di dalam hatimu
KeranaNya, aku di sini, aku di sini

Sana...tiada yang mudah
Tapi kau hadapinya
KernaNya, dirimu kembali

Temanmu masih di sisi
Tak perlu kau tangisi
Inilah, janji bersama

Masa yang telah berlalu
Hanya mampu diingati
Hari esok akan kau buktikan

Seperti dulu ku masih ada di sini
Ku memanggilmu dengan lambaian harapan
Walau jauh kamu berlari tidak akan ku lelah 
KeranaNya, Aku di sini, aku di sini

Hidupmu penuh dugaan
Di tempatmu membesar   
Tetapi, dirimu tiada

Sana...tiada yang mudah
Tapi kau hadapinya
KernaNya, dirimu kembali
Pulang semula, ini rumahmu

Saya doakan agar semua dapat kembali ke rumah masing-masing dengan selamat.

_ _
amna
Mingxing Café
March 2015 

Powered by Blogger.